Dalam
lipatan sejarah tanah air kita telah tercatat satu lagi penjajahan yang dilakukan
oleh tentera Jepun menjelang tahun 1941 dan berakhir pada 1945. Ini bermakna
Tanah Melayu bukan sahaja pernah dikuasai oleh Portugis dan British, tetapi
Jepun berjaya menempa nama dalam era penjajahan di Tanah Melayu termasuklah di Sabah
dan Sarawak. Penjajahan kuasa Jepun di Tanah Melayu berlaku dalam tempoh yang singkat
apabila British menduduki semula Tanah Melayu khususnya pada tahun 1945. Namun,
pendudukan Jepun ini telah mengubah persepsi masyarakat di Tanah Melayu bahawa
kuasa Barat itu tidak dapat dikalahkan. Pelbagai reaksi yang dipamerkan semasa
Jepun memerintah Tanah Melayu. Ada golongan yang melakukan penentangan, ada pula
yang menyokong. Pendudukan Jepun ini merupakan satu peristiwa yang pelik kerana
Jepun bukanlah negara yang besar seperti kuasa-kuasa Eropah. Tetapi, kehebatan
dan kepakaran mereka dalam bidang ketenteraan berjaya membuka mata kuasa Eropah
bahawa Jepun bukan negara yang sembarangan. Oleh itu, perbahasan dalam tulisan
ini penting bagi kita menilai kunci kejayaan negara matahari terbit ini dan
mengukur sejauh mana impak yang diterima oleh masyarakat di Tanah Melayu.
Dalam kita membincangkan kejayaan tentera
Jepun merampas kuasa daripada British, kita perlu mengkaji dasar yang diamalkan
negara berkenaan. Seperti kuasa Eropah, kedatangan mereka ke kepulauan Asia
Tenggara misalnya didorong oleh faktor Gold,
Gospel and Glory. Begitu juga Jepun, mereka melancarkan satu dasar yang
dinamakan “Gerakan ke Selatan”. Gerakan ini turut dipengaruhi oleh kejayaan
kuasa Jepun mengalahkan China pada tahun 1894-95 dan Rusia 1904-05. Sebelum Jepun
mengerakkan tenteranya ke Tanah Melayu, mereka telah melakukan pengintipan terlebih
dahulu bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi di Tanah Melayu. Perisikan
ini dibantu oleh saudagar besar, peniaga kecil, tukang gambar, tukang gunting,
guru dan pelombong. Jepun begitu bijak dalam merencanakan strategi peperangan
ke atas British di Tanah Melayu. Jepun turut melakukan hubungan sulit dengan
negara Thailand bagi memudahkan tenteranya untuk mendarat dan menuju ke Tanah Melayu.
Perjanjian ditandatangani di antara Phibun Songram, Perdana Menteri Thailand dengan
Jepun pada 8 Disember 1941. Sebagai balasan, negara Thai akan dijamin
keselamatannya dan diberikan negeri-negeri di utara Tanah Melayu. Strategi yang
diatur telah memudahkan penguasaan Jepun ke atas Tanah Melayu pada peringkat
awal.
Seterusnya, kejayaan tentera British
menguasai Tanah Melayu didorong oleh faktor persekitaran di Tanah Melayu itu
sendiri. Maksudnya di sini ialah penerimaan masyarakat di Tanah Melayu terhadap
kedatangan tentera Jepun. Penjajahan kolonial British terhadap masyarakat di
Tanah Melayu sekian lamanya telah menganggap kehadiran tentera Jepun ini
sebagai penyelamat. Hal ini kerana Jepun merupakan sebuah negara di Asia dan
tentera Jepun telah melaungkan slogan ‘Asia Untuk Orang Asia”, Semangat Asia”
dan “Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya”. Slogan ini berjaya
membangkitkan semangat anti-imperialis dalam kalangan masyarakat di Tanah Melayu
yang menginginkan kebebasan dan kemerdekaan. Namun, ini merupakan propaganda
Jepun sebagai taktik untuk menguasai minda masyarakat di Tanah Melayu agar
melakukan penentangan terhadap kuasa Barat. Hakikatnya mereka lebih kejam dan
bengis jika hendak dibandingkan dengan penjajah British. Propaganda ini
dipercayai oleh masyarakat kerana mereka mahu penjajahan British di Tanah Melayu
ini berakhir dan mereka tidak lagi betah untuk melayan kerenah yang ditunjukkan
oleh masyarakat asing ini. Akhirnya, masyarakat di Tanah Melayu terpaksa
menerima penjajahan tentera Jepun dalam keadaan yang tidak rela. Jepun yang
dianggap sebagai “savior” hanyalah
mimpi semata-mata. Penjajahan baru ini membuatkan masyarakat di Tanah Melayu hidup
dalam kongkongan untuk kali ketiga setelah Portugis dan British melakukannya.
Kejayaan Jepun melakukan penjajahan
di Tanah Melayu telah memberikan kesan yang cukup dalam terhadap aspek ekonomi
dan sosial. Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu bagi menghadapi Perang
Dunia ke-2, sektor ekonomi seperti perlombongan dan perladangan telah
dilumpuhkan. Teknik bumi hangus yang dilakukan oleh British disebabkan mereka
tidak ingin Jepun mengaut keuntungan melalui sumber kekayaan bahan mentah di
Tanah Melayu. Kemudahan infrastruktur turut dirosakkan dan mengambil masa yang
lama untuk dipulihkan. Ini memberi kesan dalam jangka masa panjang terhadap
perkembangan ekonomi di Tanah Melayu. Masyarakat terpaksa menerima kesan buruk
ini. Kehidupan menjadi lebih teruk apabila berlakunya kekurangan makanan,
pakaian dan barang-barang keperluan yang lain. Akibatnya masyarakat di Tanah Melayu
terpaksa hidup dalam kemiskinan dan kedaifan. Begitulah keadaannya apabila
penjajahan dilakukan oleh kuasa-kuasa asing. Apabila kita tidak mampu untuk
menghadapinya, kuasa asing ini akan bermaharaja lela dan hanya mementingkan
diri sendiri serta mengetepikan soal kebajikan dan keperluan masyarakat
peribumi. Selain itu, ada pandangan sarjana yang mengatakan bahawa pendudukan
Jepun ini dilabelkan sebagai “Zaman Ubi Kayu”. Hal ini disebabkan faktor kekurangan
bekalan beras dan rakyat memakan apa sahaja yang ada. Jelaslah, bidang ekonomi
menerima kesan yang begitu teruk.
Seterusnya penjajahan Jepun ini
telah mengubah keadaan sosial di Tanah Melayu. Pada sebelumnya, masyarakat di
Tanah Melayu khususnya imigran Cina hidup dalam keadaan yang baik. Namun,
keadaan ini berubah setelah Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu. Layanan buruk
diberikan kepada mereka kerana Jepun dan China pernah berperang sesama sendiri.
Masyarakat Cina terpaksa berpindah ke kawasan pinggir hutan dan menyelamatkan
diri mereka daripada dibunuh oleh tentera Jepun. Mohd Isa Othman menyatakan
bahawa selepas kejatuhan Singapura, pentadbiran tentera Jepun melakukan
pembunuhan beramai-ramai ke atas orang Cina. Operasi ini dikenali sebagai “Sook-Ching”
atau operasi pembersihan. Selepas dasar ini diberhentikan, orang Cina dikehendaki
menderma sejumlah 50 juta ringgit sebagai bayaran hutang darah dan hukuman
kerana kegiatan anti-Jepun. Berbeza halnya dengan masyarakat Melayu yang
diberikan peluang untuk berkhidmat dengan pemerintah Jepun. Kekurangan anggota
menyebabkan mereka terpaksa merekrut golongan intelektual untuk menjawat beberapa
jawatan penting dalam pentadbiran. Orang India turut dilayan dengan baik kerana
Jepun melakukan kerjasama dengan pemimpin buangan India. Jepun membantu mereka
untuk menubuhkan Tentera Nasional India (INA) dan Liga Kemerdekaan India (IIL).
Penjajahan Jepun ini membawa kesan sosial yang buruk di Tanah Melayu.
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu ini
mendapat tentangan daripada masyarakat setempat kerana tindakan kejam tentera
Jepun yang melakukan pembunuhan dan merogol anak gadis sesuka hati. Gerakan untuk
menentang telah dibentuk oleh masyarakat Cina yang menubuhkan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army). British
telah membantu gerakan ini dalam bentuk senjata, latihan ketenteraan, sumber
kewangan dan perubatan. MPAJA atau Bintang Tiga ini melancarkan perang gerila
ke atas tentera Jepun. Mereka merekrut penduduk tempatan untuk turut serta
dalam rejimen yang beroperasi di beberapa negeri seperti Selangor, Negeri
Sembilan dan Johor. Rejimen yang terkuat ialah rejimen ke-5 yang dipimpin oleh
Chin Peng. Jepun terpaksa menyerah kalah atas perintah Maharaja Hirohito. Pada 12
September1945, Jepun menandatangani perjanjian di antara Jeneral Itagaki dan
Lord Louis Mountbatten di Singapura sebagai tanda penyerahan semula Tanah Melayu
secara rasminya. Kekalahan Jepun ini turut disebabkan faktor dalaman negara itu
sendiri. Pada 6 & 9 Ogos 1945, bom atom telah digugurkan di Hiroshima dan
Nagasaki. Pengeboman ini telah menyebabkan dua wilayah ini hancur dan binasa. Sejurus
kekalahan tentera Jepun, Tanah Melayu dikuasai oleh Bintang Tiga sebelum
kedatangan semula penjajah British.
Kesimpulannya, pendudukan Jepun di
Tanah Melayu telah menghapuskan mitos bahawa “Kuasa Barat tidak dapat
dikalahkan”. Sungguhpun begitu, kehadiran mereka ini membawa kesan yang buruk
ke atas Tanah Melayu. Sektor ekonomi menghadapi inflasi disebabkan percetakan
wang pisang tidak dikawal dengan baik. Masyarakat Cina menghadapi situasi sukar
apabila tentera Jepun memberikan layanan yang buruk kepada mereka. Begitu juga
dalam aspek pendidikan di mana sekolah Inggeris ditutup dan digantikan dengan
sekolah Jepun. Namun, peristiwa ini telah memberikan banyak pengajaran berguna
kepada kita. Oleh itu, sejarah pendudukan Jepun ini perlu kita ingati bagi
mengelakkan kita tertipu lagi dengan propaganda Jepun yang berbaur penipuan dan
pada masa yang sama mengekalkan kedaulatan negara kita Malaysia sampai bila-bila.