Isnin, 23 Mei 2016

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, 1941-1945

Dalam lipatan sejarah tanah air kita telah tercatat satu lagi penjajahan yang dilakukan oleh tentera Jepun menjelang tahun 1941 dan berakhir pada 1945. Ini bermakna Tanah Melayu bukan sahaja pernah dikuasai oleh Portugis dan British, tetapi Jepun berjaya menempa nama dalam era penjajahan di Tanah Melayu termasuklah di Sabah dan Sarawak. Penjajahan kuasa Jepun di Tanah Melayu berlaku dalam tempoh yang singkat apabila British menduduki semula Tanah Melayu khususnya pada tahun 1945. Namun, pendudukan Jepun ini telah mengubah persepsi masyarakat di Tanah Melayu bahawa kuasa Barat itu tidak dapat dikalahkan. Pelbagai reaksi yang dipamerkan semasa Jepun memerintah Tanah Melayu. Ada golongan yang melakukan penentangan, ada pula yang menyokong. Pendudukan Jepun ini merupakan satu peristiwa yang pelik kerana Jepun bukanlah negara yang besar seperti kuasa-kuasa Eropah. Tetapi, kehebatan dan kepakaran mereka dalam bidang ketenteraan berjaya membuka mata kuasa Eropah bahawa Jepun bukan negara yang sembarangan. Oleh itu, perbahasan dalam tulisan ini penting bagi kita menilai kunci kejayaan negara matahari terbit ini dan mengukur sejauh mana impak yang diterima oleh masyarakat di Tanah Melayu.

            Dalam kita membincangkan kejayaan tentera Jepun merampas kuasa daripada British, kita perlu mengkaji dasar yang diamalkan negara berkenaan. Seperti kuasa Eropah, kedatangan mereka ke kepulauan Asia Tenggara misalnya didorong oleh faktor Gold, Gospel and Glory. Begitu juga Jepun, mereka melancarkan satu dasar yang dinamakan “Gerakan ke Selatan”. Gerakan ini turut dipengaruhi oleh kejayaan kuasa Jepun mengalahkan China pada tahun 1894-95 dan Rusia 1904-05. Sebelum Jepun mengerakkan tenteranya ke Tanah Melayu, mereka telah melakukan pengintipan terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi di Tanah Melayu. Perisikan ini dibantu oleh saudagar besar, peniaga kecil, tukang gambar, tukang gunting, guru dan pelombong. Jepun begitu bijak dalam merencanakan strategi peperangan ke atas British di Tanah Melayu. Jepun turut melakukan hubungan sulit dengan negara Thailand bagi memudahkan tenteranya untuk mendarat dan menuju ke Tanah Melayu. Perjanjian ditandatangani di antara Phibun Songram, Perdana Menteri Thailand dengan Jepun pada 8 Disember 1941. Sebagai balasan, negara Thai akan dijamin keselamatannya dan diberikan negeri-negeri di utara Tanah Melayu. Strategi yang diatur telah memudahkan penguasaan Jepun ke atas Tanah Melayu pada peringkat awal.

            Seterusnya, kejayaan tentera British menguasai Tanah Melayu didorong oleh faktor persekitaran di Tanah Melayu itu sendiri. Maksudnya di sini ialah penerimaan masyarakat di Tanah Melayu terhadap kedatangan tentera Jepun. Penjajahan kolonial British terhadap masyarakat di Tanah Melayu sekian lamanya telah menganggap kehadiran tentera Jepun ini sebagai penyelamat. Hal ini kerana Jepun merupakan sebuah negara di Asia dan tentera Jepun telah melaungkan slogan ‘Asia Untuk Orang Asia”, Semangat Asia” dan “Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya”. Slogan ini berjaya membangkitkan semangat anti-imperialis dalam kalangan masyarakat di Tanah Melayu yang menginginkan kebebasan dan kemerdekaan. Namun, ini merupakan propaganda Jepun sebagai taktik untuk menguasai minda masyarakat di Tanah Melayu agar melakukan penentangan terhadap kuasa Barat. Hakikatnya mereka lebih kejam dan bengis jika hendak dibandingkan dengan penjajah British. Propaganda ini dipercayai oleh masyarakat kerana mereka mahu penjajahan British di Tanah Melayu ini berakhir dan mereka tidak lagi betah untuk melayan kerenah yang ditunjukkan oleh masyarakat asing ini. Akhirnya, masyarakat di Tanah Melayu terpaksa menerima penjajahan tentera Jepun dalam keadaan yang tidak rela. Jepun yang dianggap sebagai “savior” hanyalah mimpi semata-mata. Penjajahan baru ini membuatkan masyarakat di Tanah Melayu hidup dalam kongkongan untuk kali ketiga setelah Portugis dan British melakukannya.

            Kejayaan Jepun melakukan penjajahan di Tanah Melayu telah memberikan kesan yang cukup dalam terhadap aspek ekonomi dan sosial. Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu bagi menghadapi Perang Dunia ke-2, sektor ekonomi seperti perlombongan dan perladangan telah dilumpuhkan. Teknik bumi hangus yang dilakukan oleh British disebabkan mereka tidak ingin Jepun mengaut keuntungan melalui sumber kekayaan bahan mentah di Tanah Melayu. Kemudahan infrastruktur turut dirosakkan dan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan. Ini memberi kesan dalam jangka masa panjang terhadap perkembangan ekonomi di Tanah Melayu. Masyarakat terpaksa menerima kesan buruk ini. Kehidupan menjadi lebih teruk apabila berlakunya kekurangan makanan, pakaian dan barang-barang keperluan yang lain. Akibatnya masyarakat di Tanah Melayu terpaksa hidup dalam kemiskinan dan kedaifan. Begitulah keadaannya apabila penjajahan dilakukan oleh kuasa-kuasa asing. Apabila kita tidak mampu untuk menghadapinya, kuasa asing ini akan bermaharaja lela dan hanya mementingkan diri sendiri serta mengetepikan soal kebajikan dan keperluan masyarakat peribumi. Selain itu, ada pandangan sarjana yang mengatakan bahawa pendudukan Jepun ini dilabelkan sebagai “Zaman Ubi Kayu”. Hal ini disebabkan faktor kekurangan bekalan beras dan rakyat memakan apa sahaja yang ada. Jelaslah, bidang ekonomi menerima kesan yang begitu teruk.

            Seterusnya penjajahan Jepun ini telah mengubah keadaan sosial di Tanah Melayu. Pada sebelumnya, masyarakat di Tanah Melayu khususnya imigran Cina hidup dalam keadaan yang baik. Namun, keadaan ini berubah setelah Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu. Layanan buruk diberikan kepada mereka kerana Jepun dan China pernah berperang sesama sendiri. Masyarakat Cina terpaksa berpindah ke kawasan pinggir hutan dan menyelamatkan diri mereka daripada dibunuh oleh tentera Jepun. Mohd Isa Othman menyatakan bahawa selepas kejatuhan Singapura, pentadbiran tentera Jepun melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang Cina. Operasi ini dikenali sebagai “Sook-Ching” atau operasi pembersihan. Selepas dasar ini diberhentikan, orang Cina dikehendaki menderma sejumlah 50 juta ringgit sebagai bayaran hutang darah dan hukuman kerana kegiatan anti-Jepun. Berbeza halnya dengan masyarakat Melayu yang diberikan peluang untuk berkhidmat dengan pemerintah Jepun. Kekurangan anggota menyebabkan mereka terpaksa merekrut golongan intelektual untuk menjawat beberapa jawatan penting dalam pentadbiran. Orang India turut dilayan dengan baik kerana Jepun melakukan kerjasama dengan pemimpin buangan India. Jepun membantu mereka untuk menubuhkan Tentera Nasional India (INA) dan Liga Kemerdekaan India (IIL). Penjajahan Jepun ini membawa kesan sosial yang buruk di Tanah Melayu.

            Pendudukan Jepun di Tanah Melayu ini mendapat tentangan daripada masyarakat setempat kerana tindakan kejam tentera Jepun yang melakukan pembunuhan dan merogol anak gadis sesuka hati. Gerakan untuk menentang telah dibentuk oleh masyarakat Cina yang menubuhkan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army). British telah membantu gerakan ini dalam bentuk senjata, latihan ketenteraan, sumber kewangan dan perubatan. MPAJA atau Bintang Tiga ini melancarkan perang gerila ke atas tentera Jepun. Mereka merekrut penduduk tempatan untuk turut serta dalam rejimen yang beroperasi di beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Rejimen yang terkuat ialah rejimen ke-5 yang dipimpin oleh Chin Peng. Jepun terpaksa menyerah kalah atas perintah Maharaja Hirohito. Pada 12 September1945, Jepun menandatangani perjanjian di antara Jeneral Itagaki dan Lord Louis Mountbatten di Singapura sebagai tanda penyerahan semula Tanah Melayu secara rasminya. Kekalahan Jepun ini turut disebabkan faktor dalaman negara itu sendiri. Pada 6 & 9 Ogos 1945, bom atom telah digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki. Pengeboman ini telah menyebabkan dua wilayah ini hancur dan binasa. Sejurus kekalahan tentera Jepun, Tanah Melayu dikuasai oleh Bintang Tiga sebelum kedatangan semula penjajah British.

            Kesimpulannya, pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah menghapuskan mitos bahawa “Kuasa Barat tidak dapat dikalahkan”. Sungguhpun begitu, kehadiran mereka ini membawa kesan yang buruk ke atas Tanah Melayu. Sektor ekonomi menghadapi inflasi disebabkan percetakan wang pisang tidak dikawal dengan baik. Masyarakat Cina menghadapi situasi sukar apabila tentera Jepun memberikan layanan yang buruk kepada mereka. Begitu juga dalam aspek pendidikan di mana sekolah Inggeris ditutup dan digantikan dengan sekolah Jepun. Namun, peristiwa ini telah memberikan banyak pengajaran berguna kepada kita. Oleh itu, sejarah pendudukan Jepun ini perlu kita ingati bagi mengelakkan kita tertipu lagi dengan propaganda Jepun yang berbaur penipuan dan pada masa yang sama mengekalkan kedaulatan negara kita Malaysia sampai bila-bila.

3 ulasan:

  1. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, 1941-1945 - SEJARAH MALAYSIA

    BalasPadam
  2. Assalammualaikum penulis..saya tertarik dengan artikel yang penulis kongsikan dsni,.. Saya Tertarik untuk menanyakan soalan mengenai tentera Jepun yg dtg menjajah di Tanah Melayu pada ketika itu.. Menurut pengetahuan Penulis, Apakah Tentera Jepun yg dtg ke TM ini merupakan Tentera Asli Jepun? Hal ini demikian kerana...ada bbrapa sumber mngatakan, bahawa tentera jepun yg melakukan pnyeksaan d TM pda ketika itu, adalah tentera upahan, dan bukannya terdiri drpd penduduk asli Jepun... Apa pendapat penulis?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'alaikumsalam saudari. Berkenaan persoalan ini, sukar untuk saya memberikan jawapan secara tepat. Tetapi, berdasarkan apa yang saya tahu, ya, tentera Jepun sendiri yang melakukan penyeksaan terhadap masyarakat di Tanah Melayu. Hal ini kita boleh lihat melalui gambar-gambar yang berjaya dirakamkan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Pensyarah saya sendiri pernah memaparkannya sewaktu kuliah kursus Malaysia Abad 20. Berkenaan tentera lain yang melakukan penyeksaan itu, saya akan melakukan lebih banyak pembacaan untuk menjawab persoalan ini. Sekian, terima kasih

      Padam